IPOH – Lebih 50 pelajar dan warga kerja Open University Malaysia (OUM) Perak menyumbang masa dan tenaga mereka untuk bergotong-royong membersihkan sekitar kawasan Bukit Kledang, di sini pada Sabtu.

Sepanjang aktiviti gotong-royong selama hampir empat jam itu, kesemua pelajar dan warga kerja OUM berganding bahu membersihkan kawasan tumpuan warga Ipoh beriadah itu dengan mengutip sampah, menanam bunga serta mengecat semula semua pondok rehat yang berada di situ.

ef134922-65b2-4f85-980f-bbcfd1fa5e8c

Pengarah OUM Perak, Zuraidah Abd Hamid berkata, program tersebut diadakan bagi menyemai amalan menjaga kebersihan di kalangan pelajar serta masyarakat selain memumpuk semangat khidmat masyarakat.

“Kita nak beritahu kepada masyrakat bahawa pihak OUM juga mempunyai peranan dalam mengindahkan Ipoh khususnya di tempat-tempat tumpuan orang ramai, kita prihatin terhadap kebersihan.

“Malah program ini juga sebenarnya merupakan tuntutan di dalam salah satu subjek di OUM iaitu subjek Khidmat Masyarakat, pelajar perlu melakukan kerja amal seperti ini terlebih dahulu baru boleh lulus,” katanya ketika ditemui Suara Perak ketika program aktiviti khidmat masyarakat OUM Perak 2018 di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, program khidmat masyarakat yang diadakan itu juga dilakukan secara kerap sehingga sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

“Kita memang akan pastikan dalam masa setahun itu, sekurang-kurangnya tiga kali pelajar serta warga kerja OUM akan melakukan khidmat masyarakat ini untuk memastikan kita mempunyai peranan dalam masyarakat.

“Seperti sebelum ini kita ke rumah-rumah anak yatim di sekitar Ipoh membantu meringankan beban mereka, cuma kali ini sahaja kita merasakan perlunya melakukan satu program yang tidak tertumpu kepada sesuatu golongan tetapi kepada masyarakat secara umumnya,” jelas beliau.

Program itu juga turut dibantu oleh Persatuan Pelajar-Pelajar OUM.