MELAKA: Dua wanita, termasuk seorang pelajar Tingkatan Lima meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ayer Paabas, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa Nurul Farizatul Huza Nor Affandi, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Talib Karim dan Azlida Ahmad, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Difahamkan, sebelum kejadian, Nurul Farizatul Huza yang menunggang motosikal dibonceng Azlida dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke Simpang Ampat.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa, sebuah lori dan kereta PERODUA Kenari berhenti di persimpangan lampu isyarat Ayer Paabas di sini.

“Sejurus lampu merah bertukar hijau, mangsa yang menunggang motosikal cuba mencelah dari belakang antara lori dipandu lelaki berusia 48 tahun dan PERODUA Kenari dipandu jururawat lelaki berusia 30 tahun.

“Ketika mencelah, motosikal mangsa dipercayai terlanggar bahagian kiri belakang kereta berkenaan lalu terbalik betul-betul di bawah kepala lori dan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, malam kelmarin.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu kereta dan pemandu lori tidak cedera.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya – berita harian