PARIT BUNTAR – Seorang pelajar lembam merupakan antara lapan pelajar sekolah dicekup ketika sedang berseronok dan bermain permainan komputer dalam Operasi Ponteng Sekolah sekitar daerah Kerian di sini, pagi semalam.

Lebih mengejutkan, operasi diketuai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dengan kerjasama polis, Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kerian itu turut mengenal pasti seorang pelajar disahkan positif dadah.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi, lapan pelajar berusia 15 hingga 17 tahun dikenal pasti ponteng sekolah sebelum dibawa ke pejabat PPD Kerian untuk dimaklumkan dan diserahkan kepada pentadbiran sekolah masing-masing.

Pegawai PPD Kerian, Abdul Wahid Ramli berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kafe siber dan pusat hiburan menjadi tumpuan pelajar sekolah di daerah Kampar menghabiskan masa untuk bermain permainan komputer dan berpeleseran.

Menurutnya, operasi berkenaan tertumpu di kawasan Parit Buntar, Bagan Serai, Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.

“Hasil operasi ini, kita berjaya mengenal pasti dua pelajar berada di kafe siber berhampiran panggung wayang di Bagan Serai, dua lagi di sebuah kafe siber di Kuala Kurau, tiga pelajar di kafe siber Taman Wawasan, di sini dan seorang lagi di kafe siber Tanjung Piandang.

“Agak menyedihkan, salah seorang daripada pelajar ditangkap merupakan seorang pelajar pendidikan khas di sebuah sekolah di Parit Buntar kerana mengalami masalah lembam.

“Daripada lapan pelajar ditahan, ujian saringan air kencing dijalankan AADK Kerian bagaimanapun mendapati seorang pelajar tahun dua sebuah kolej kemahiran positif penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di pejabat PPD Kerian, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Komuniti Kepolisian (BPJKK) IPD Kerian, Asisten Superintendan Roswadi Ismail dan Timbalan PPD Kerian, Mazalani Abdul Muhaini.

-SinarHarian