IPOH: Seorang pelajar Pendidikan Khas  Sekolah Aminuddin Baki Chemor dilaporkan hilang dari rumah ibu saudaranya di Taman Klebang Putra, Chemor sejak 27 Oktober lalu.

 Menurut ibu saudaranya, Fatimah Kamis, 43, anak saudaranya, Noraishah Sufaizal, 15, didapati hilang dari rumahnya di taman berkenaan pada 27 Oktober lalu kira-kira jam 3.40 petang.

“Saya amat bimbang tentang keselamatan Noraishah di luar sana dan amat berharap sesiapa yang menemuinya dapat menghubungi saya segera dengan menelefon 0124425026 atau menghubungi balai polis yang berdekatan,’’ katanya kepada pemberita di rumahnya pada Selasa.

  Menurut Fatimah, pada hari kejadian Noraishah hanya berbaju, bertudung dan berseluar hitam tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

 Katanya, sebelum hari kejadian, tiada perselisihan faham berlaku antara beliau dengan anak saudaranya itu.

Fatimah berkata, beliau diamanahkan ibunya untuk menjaga Noraishah dan adiknya, Abdul Rahim sejak dari kecil lagi berikutan permasalahan rumah tangga kedua ibu bapa mereka.