IPOH 29 April – Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini bakal mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya politeknik di negara ini yang membina pusat Islam menggunakan kemahiran warganya.

Pembinaan pusat Islam baharu itu bagi menggantikan bangunan lama yang tidak lagi dapat menampung jumlah pelajar dan warga kerja PUO.

Pengarah PUO, Zairon Mustapha berkata,apabila siap, pusat Islam itu boleh menampung sehingga 800 orang jemaah pada satu-satu masa.

Menurut beliau, reka bentuk pusat Islam itu juga diilhamkan oleh pelajar Diploma Seni Bina dengan bimbingan pensyarah.

Beliau berkata, bagi kerja-kerja pengkuran awal, ia telah dilakukan oleh pelajar-pelajar Diploma Geomatik dan Ukur.

“Manakala pelajar dan pensyarah Diploma Kejuruteraan Awam bersama kontraktor yang dilantik dan Unit Pembangunan dan Senggaraan turut membantu dalam membangunkan binaan pusat Islam ini.

“Bagi melancarkan kerja, projek ini turut mendapat khidmat nasihat daripada perunding luar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan pusat Islam PUO di kampus pusat pengajian itu di sini hari ini.

Pembinaan bangunan baharu seluas 167 meter persegi di atas tanah kira-kira 0.4 hektar itu dijangka bermula pada bulan Jun ini.

Zairon memberitahu, kos pembinaanya termasuk kelengkapan dianggarkan kira-kira RM1 juta dan dijangka siap pada tahun hadapan.

Kata beliau, sumber kewangan diperoleh daripada dana wakaf dan infak warga Islam PUO, alumni dan orang ramai.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menerusi akaun Maybank bernombor 569972069658 atas nama Dana Pembangunan Pusat Islam Baharu atau menghubungi talian 019-9807 403. – UTUSAN ONLINE