IPOH – Pelajar Perak yang menuntut di Mesir menerima khabar gembira selepas kerajaan negeri meluluskan peruntukan khas sebanyak RM200,000 setahun.

Exco Kerajaan Perak, Asmuni Awi berkata, peruntukan itu diberikan bagi membiayai pengurusan pelajar-pelajar yang berada di negara itu antaranya menampung kos tambang pengangkutan pelajar, pelaksanaan program secara berkala, kos pengurusan pejabat serta pembayaran bil utiliti termasuklah air dan elektrik di Wisma Perak Baitul Rahman, Kaherah.

Menurutnya, ketika lawatan delegasi Kerajaan Perak yang diketuai oleh bekas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal pada Ogos lalu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000.

“Kami mengambil maklumat secara teliti dengan mengambil kira keperluan kos pengurusan pelajar-pelajar Perak disini dan bersetuju menaikkan peruntukan daripada RM50,000 yang dipersetujui di peringkat awal kepada RM200,000.

“Peruntukan RM200,000 itu termasuklah kos sewaan bas untuk para pelajar kita di sini, kos pengurusan pejabat dan pembayaran utiliti wisma Perak,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pengumuman itu dibuat Asmuni ketika program Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar-Pelajar Perak di Mesir di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK), Mesir semalam.

Seramai 452 orang pelajar Perak telah hadir ke program tersebut yang turut disertai oleh Abu Bakar; Pengurus Besar Yayasan Perak, Aida Hazlyn Hassan dan Timbalan Pengarah JAIPk, Ustaz Harith Fadzilah Abd Halim.

Dalam pada itu,sesi soal jawab juga diadakan bersama pelajar dengan barisan delegasi Kerajaan Perak bagi mendengar permasalahan, cadangan dan harapan pelajar-pelajar.

Sementara itu, Asmuni turut meluluskan serta merta beberapa permintaan dan permohonan dana daripada pelajar-pelajar antaranya permohonan pelajar yang sedang menyambung pengajian ijazah sarjana untuk mendapat peruntukan khas bagi menampung kos pembelajaran mereka.

Beliau berkata, setelah berbincang dengan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said, kerajaan negeri bersetuju untuk meluluskan bantuan sebanyak RM21,000 setiap seorang untuk bagi tempoh tiga tahun dengan syarat-syarat yang ditetapkan dan meluluskan peruntukan permohonan sekumpulan pelajar Perak untuk menjalankan program pemantapan ilmu Thurat sebanyak RM8,500.

“Kita mengambil maklum kos pengajian bidang perubatan yang mencecah USD8,000 setahun dan kita akan meneliti perkara ini dengan Lembaga Pinjaman Pelajaran Negeri Perak dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri sangat mengambil berat terhadap perkembangan pelajar Perak yang menyambung pelajaran di Timur Tengah terutama di Mesir.

Asmuni berkata, pihaknya berharap anak Perak yang menuntut di Mesir dapat meningkatkan kualiti pembelajaran terutama kemahiran berbahasa Arab yang menjadi matlamat utama mereka menyambung pengajian di sana.

“Saya sentiasa mengambil perhatian dalam hal ini, dan saya akan berhubung dengan wakil kerajaan negeri di sini secara berkala untuk mendapatkan maklumat tentang prestasi ke semua 750 orang pelajar dan permasalahan sekiranya berlaku,” katanya.