KUALA LUMPUR: Seramai 2,900 pelajar daripada 108 pusat tahfiz disasarkan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) TVET@Tahfiz bermula akhir bulan ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata program itu adalah antara usaha kerajaan dalam memperkasa sistem pendidikan pondok dan tahfiz di negara ini.

Katanya, usaha itu akan melahirkan pelajar tahfiz memiliki nilai tambah dan berkemahiran.

“Pengambilan kumpulan pertama bermula akhir bulan ini sehingga Oktober,” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-UMNO Maran) mengenai Jawatankuasa Pemerkasaan TVET di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai penawaran program TVET dalampendidikan Islam, Maszlee berkata, Pelan Induk Pendidikan Sepanjang Hayat (PISH) menawarkan Diploma Pengajian Perniagaan kepada pelajar tahfiz bermula sesi Jun 2017 berserta Sijil Tahfiz Al-Quran.

“Apa yang pasti, pengukuhan elemen pengajian agama diperluaskan melalui aktiviti luar kelas seperti aktiviti kerohanian, Festival Quran di Hatiku dan Program Pratahfiz di peringkat politeknik yang terpilih,” katanya – berita harian