PARIT 14 Dis. – Seorang pelajar lelaki Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Lama, Lambor Kanan maut setelah motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, Miqdad Muhammad, 17, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Umair Md. Yusof, 17, mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, semasa kejadian, kedua-dua pelajar yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC itu dalam perjalanan dari arah Bota Kanan hendak pulang ke rumah di Lekir.

Katanya, kemalangan di jalan berselekoh itu berlaku apabila motosikal ditunggang mereka telah bergesel dengan lori muatan pasir dari arah bertentangan yang dalam perjalanan dari Kampung Gajah ke Bota.

“Kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya dengan motosikal tersebut terseret sejauh tiga meter manakala lori berkenaan pula terbalik merintangi jalan.

Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala rakannya cedera di bahagian dalaman badan,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan rakannya yang cedera turut dirawat di hospital sama.

“Pemandu lori berusia 54 tahun tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE