KOTA BHARU: Seorang pelajar tahfiz warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan mencabul remaja lelaki di bawah umur, bulan lalu.

Tertuduh, Usman Shafie, 22, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh secara seksual kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun enam bulan yang juga pelajar tahfiz dengan mencium bibir dan menyentuh kemaluan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah sekolah tahfiz di Tok Bali, Semerak, Pasir Puteh, jam 11 malam, pada 24 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falena Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes – berita harian