Kementerian Pendidikan memberi amaran pihaknya tidak sesekali akan berkompromi atau melindungi mana-mana pelajar sekolah di negara ini yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekiranya didapati mana-mana pelajar terlibat dengan pengedaran atau ujian urinnya didapati positif dadah mereka akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) untuk disiasat secara sepenuhnya.

“Kes dadah ini merupakan kes yang serius, ianya telah menjalar bukan sahaja ke peringkat sekolah menengah tetapi juga melibatkan sekolah rendah serta sekolah jenis kebangsaan.

“Jika didapati mana-mana pelajar terlibat kita akan serahkan kes itu kepada Polis biar mereka siasat sepenuhnya dan tindakan boleh diambil, kita tidak boleh melindungi pelajar berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian SMK Kampong Perak, di Batu Kurau pada Khamis.

Menurut beliau, setakat tiga bulan pertama 2017, seramai 554 pelajar telah didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah yang majoritinya merupakan pelajar melayu tingkatan 4 dan 5.

Katanya daripada statistik itu juga didapati majoritinya terlibat dengan dadah jenis pil atau sintentik.

Justeru bagi mengekang permasalah berkenaan beliau menggesa pengetua sekolah serta pegawai pendidikan seluruh negara untuk melaporkan kepada pihak jabatan pendidikan sekiranya terdapat pelajar didapati bersalah dengan genjala berkenaan walaupun ianya kes terpencil.

“Laporan di sekolah itu misti dijelaskan kepada jabatan pendidikan, jangan kita kata kes ini tak nak lapor lagi kerana baru seorang atau dua orang sahaja pelajar terlibat.

“Walaupun seorang pelajar misti laporkan kepada pejabat pendidikan daerah supaya pihak pendidikan akan merungkaikan semuanya sekali,” ujar beliau.