IPOH: Statisik kadar jenayah melibatkan pelajar sekolah di negeri ini menunjukkan penurunan pada tahun lalu berbanding 2015.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perak, SAC T. Selvan berkata, pada tahun 2016 sebanyak 140 tangkapan telah dibuat terhadap pelajar melibatkan pelbagai jenayah berbanding 203 tangkapan pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, angka itu menunjukkan penurunan lebih 31 peratus dan merupakan hasil kejayaan kerjasama yang erat di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak sekolah.

“Kita akan meneruskan usaha menurunkan lagi kadar ini melalui usaha-usaha yang telah dirancang secara bersama, kita serius,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Jom Ke Sekolah di sini pada Isnin.

Program tersebut merupakan usaha sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PDRM dalam misi membanteras masalah disiplin serta jenayah di kalangan pelajar-pelajar sekolah seluruh negara.

Selvan berkata, seramai 1,300 warga PDRM yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) telah dikerahkan ke seluruh daerah di negeri ini bagi menjayakan program tersebut.

“Pegawai PPS ini akan datang ke sekolah pada setiap hari Khamis untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti program kesedaran jenayah dan dadah, buat pemeriksaan motosikal pelajar-pelajar serta adakan kem-kem motivasi untuk mereka.

“Untuk itu seramai 1,300 pegawai PPS telah dilantik, walaupun di negeri ini hanya terdapat 1,099 sekolah rendah dan menengah,” ujarnya.