KAMPAR 20 Dis. – Seorang pelajar lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol rakannya tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan tanpa rela dengan mangsa yang juga berusia 17 tahun di kawasan Air Terjun Batu Berangkai di sini pada pukul 8 pagi 24 Ogos 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Norashikin Hassan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Sukhdave Singh.

Siti Norashikin menawarkan RM5,000 dengan seorang penjamin sebagai wang jaminan terhadap tertuduh.

Terdahulu, Sukhdave Singh dalam rayuan terhadap anak guamnya memohon mahkamah meringankan wang jaminan tersebut memandangkan ibu bapanya hanya bekerja sebagai buruh.

Nur Faizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE