IPOH – Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sejak semalam.

Ibu pelajar tersebut, Norzila Mastura Rami berkata, dia menghantar anaknya, Ahmad Addin Fahmi, 14, ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur untuk menaiki bas ke Teluk Intan pada jam 2 petang semalam.

Katanya, bagaimanapun selepas jam 6 petang, anaknya gagal dihubungi untuk mengetahui sama ada sudah berada di sekolah atau sebaliknya.

“Saya sendiri tengok dia naik bas dan lepas bas jalan baru saya balik. Saya hubungi warden sekolah untuk pastikan dia sampai atau tak. Tapi warden kata tak ada di sekolah. Jadi saya mula risau sebab sampai sekarang belum ada apa-apa berita.

“Dalam pukul 1 pagi tadi saya balik kampung dari Kuala Lumpur terus pergi ke asrama untuk periksa dia ada ke tidak. Lepas itu saya cari di Bandar Baru Teluk Intan pun tak ada,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Norzila Mastura berkata, sehingga kini dia dan keluarga masih buntu untuk mencari Ahmad Addin kerana kejadian seperti itu belum pernah terjadi.

Menurutnya, sebelum menaiki bas, anaknya ceria seperti biasa dan hubungan mereka baik seperti biasa.

“Masa naik bas, dia pakai bajut T berwarna hitam bersama sukan. Selain itu, dia juga ada bawa kayu hoki dan pakai beg jenama body glove.

“Sesiapa yang ada terlihat atau ada maklumat tentang anak saya boleh hubungi segera kerana risau keselematan dia,” katanya.

Norzila Mastura berkata, petang ini dia akan ke sekolah semula sebelum laporan polis jika anaknya masih belum ditemui.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi Norzila Mastura di talian 013-2825211 – sinar