KUALA KANGSAR: Polis memberkas dua remaja, termasuk seorang pelajar tingkatan empat, disyaki memiliki komponen motosikal curi yang telah dileraikan.

Pelajar berumur 16 tahun itu ditahan di Kampung Kandang Hilir Kota Lama Kanan, di sini kita-kira pukul 5.30 lagi Jumaat.

Terdahulu, polis menahan seorang penganggur berumur 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Kledang, Kota Lama Kanan kira-kira pukul 9.30 malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, dalam tangkapan pertama itu, pegawai polis bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah turut merampas komponen motosikal yang telah dileraikan di rumah tersebut.

Menurutnya, antara komponen motosikal yang dirampas ialah rangka, kulit enjin, rim, raga, tangki minyak, ekzos dan penghadang angin.

“Semakan ke atas nombor casis dan nombor enjin yang dijumpai masih dilaporkan hilang bersabit kehilangan sebuah motosikal di Masjid Kota Lama Kiri pada 1 Februari lalu,” katanya kepada media di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu, kedua-dua remaja itu direman empat hari sehingga Selasa depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.