IPOH: Ramai ibu bapa dan pelajar tidak menyedari bahawa pemilihan sesuatu bidang pendidikan tinggi dan kerjaya adalah sesuatu kemahiran yang perlu dipelajari.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jika salah percaturan, ia boleh membawa kepada masalah di kemudian hari.

Justeru itu, tugas dan tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling di sekolah sangat besar dalam mendidik, membimbing dan membantu pelajar menetapkan haluan pendidikan dan kerjaya masing-masing.

Di samping itu, kata beliau, peranan ibu bapa juga sangat penting di dalam mempengaruhi masa depan kerjaya anak mereka.

“Selain tempat untuk memohon restu, ibu bapa juga berperanan sebagai tempat rujukan dalam bidang pendidikan dan kerjaya anak-anaknya,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Pendidikan dan Kerjaya Peringkat Daerah Kinta Utara 2017 di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan Perak, Mohd Rosli Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, Hasni Hasshim, Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsan Kinta Utara, Megat Azrul Aizad Megat Iberahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA), Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi.

 

PeKA 2

Dr Zambry berpendapat, penganjuran ekspo itu adalah suatu langkah yang proaktif dan efektif dalam menyebarluaskan maklumat mengenai laluan pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan di negara ini.

Lebih 30 buah syarikat dan 39 buah institusi pengajian tinggi / institusi kemahiran mengambil bahagian di dalam eskpo tiga hari itu yang berlangsung sehingga Ahad.

Dijangka kira-kira 5,000 pelajar sekolah, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan orang ramai akan menghadiri ekspo tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, PEKA, Majlis Bandaraya Ipoh, KPerak Inc, Institut Darul Rizduan dan Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd.

 

PeKA 3