SEREMBAN: Pelakon, Meor Mohd Afif Meor Mohd Affandi kerugian RM1,200 apabila dompetnya dipercayai dilarikan seorang wanita di sebuah butik di pusat beli belah di Kemayan Square di sini, hari ini.

Meor, 29, berkata dia berkunjung ke butik itu di tingkat dua pusat beli belah berkenaan bersama isteri, Nur Najian Jasni, 25, dan anak, Meor Alexander Al Fateh berusia 11 bulan pada jam 1 tengah hari.
Katanya, dia melihat pakaian untuk dibeli manakala isteri menyuapkan makanan kepada anaknya yang diletakkan di dalam kereta dorong bayi.

“Pada ketika itu saya meletakkan dompet mengandungi RM1,200 di dalam raga ‘stroller’ (kereta dorong bayi). Isteri yang selesai menyuapkan makanan duduk di kerusi berhampiran butik,” katanya.

Pelakon drama Tanah Kubur dan Deejavu di Kinabalu itu berkata, seorang wanita bertudung melalui kereta dorong bayi dan dipercayai mengambil dompetnya.

“Apabila isteri memaklumkan kejadian, saya mengejar wanita itu hingga ke lif. Isteri memeriksa beg tangan wanita terbabit tetapi tidak menjumpai apa-apa.

“Apa dikesalkan adalah saya dan isteri terlupa memeriksa tubuh wanita itu dan kemungkinan dompet diselit pada pinggangnya,” katanya.

Berikutan itu, Meor tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, jam 2.17 petang tadi.

Meor berkata, wang itu adalah hasil jualan perabot dan televisyen terpakai dari rumah lamanya di Taman Tuanku Ja’afar (TTJ), di sini sebelum mereka berpindah ke Alam Damai, Cheras, baru-baru ini.

“Saya menganggap mungkin tiada rezeki saya. Saya sudah bertemu pegawai penyiasat dan dimaklumkan polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di butik berkenaan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan – berita harian