LUMUT: Cadangan untuk menjadikan Pangkor sebagai pulau bebas cukai perlu dikaji semula sebelum memutuskan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pengumuman yang dibuat kerajaan terdahulu didapati tidak meliputi semua barangan.

Bagaimanapun, kata beliau keputusan muktamad akan dibuat oleh kerajaan Persekutuan.

“Apa yang saya nampak bebas cukai yang diumumkan sebelum ini tidak meliputi semua barangan dan kita akan mengkaji semula perkara ini.

“Dan akhirnya keputusan itu terletak kepada kerajaan pusat dan kita kerajaan negeri alu-alukan apa sahaja keputusan yang mementingkan pertumbuhan di Pulau Pangkor itu sendiri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Aidilfitri Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

YAB Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan menyokong penuh apa sahaja usaha untuk membolehkan Pulau Pangkor menarik lebih ramai pelancong.

“Kita mahu Pulau Pangkor terus dikenali antara pulau peranginan utama negara bukan sahaja dikalangan pelancong tempatan malah juga antarabangsa.

“Ini kerana tarikan pelancong luar negara ke Pulau Pangkor agak berkurangan berbanding kunjungan ke Pulau Pinang dan Pulau Langkawi,” katanya.

Sebelum ini kerajaan Persekutuan yang lalu mengumumkan Pangkor sebagai pulau bebas cukai dalam bajet 2018, namun selepas kerajaan beralih pimpinan, statusnya masih belum diketuai