PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan seni khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun depan walaupun dibantah sebilangan kecil masyarakat.

Perdana menteri berkata, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain, termasuk bahasa Cina kerana ia adalah keistimewaan di Malaysia.

“Tulisan bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain seperti Indonesia umpamanya, Filipina dan Thailand, mereka guna tulisan mereka,” katanya menjawab pertanyaan seorang peserta Townhall Semarak Merdeka di Melaka yang disiarkan di Facebook malam ini.

“Tak kenalah kalau DAP kata kita tak boleh guna khat. Tulisan khat ini pula ialah satu seni yang tinggi.

“Saya fikir ini bukanlah semua DAP, tetapi atas satu bahagian daripada DAP saja yang menentang, saya ingat kita boleh teruskan.”

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin dan Adun DAP menggesa anggota Kabinet membantah rancangan memperkenalkan seni khat dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020.

Semalam, Kementerian Pendidikan mempertahankan keputusan memperkenalkan seni khat dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4, walaupun dibantah kumpulan pendidikan Cina yang berkata, ia akan membebankan lagi murid serta guru, dan tiada kaitan dengan penguasaan bahasa kebangsaan.

Katanya, ia akan mengambil kira pendekatan penyampaian lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid serta guru.

Mahathir berkata, menerusi kunjungannya ke Turki baru-baru ini, beliau mendapati rakyat negara itu amat mahir dalam penulisan khat walaupun mereka menggunakan tulisan rumi.

Mahathir berada di Melaka untuk merasmikan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, malam ini.