IPOH: Kerajaan negeri Perak telah merangka Pelan Pembangunan Luar Bandar yang berdaya tahan dan berdaya huni, bagi mengekang penghijrahan penduduk dari luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri bersetuju menerima pakai Dasar Perancangan Fiskal Desa Negara 2017 – 2030 sebagai rangka kerja sebatial yang bersepadu untuk mengenalpasti lokasi yang sesuai dalam melaksanakan projek pembangunan luar bandar.

Menjawab soalan lisan Datuk Zainun Mat Noor (BN – Chenderoh) di Sidang DUN pada Selasa, beliau berkata, melalui dasar itu, lima teras utama telah dirangka untuk menyokong matlamat pembangunan desa, termasuk di kawasan Chenderoh.

Beliau memberitahu, lima teras itu ialah pengurusan mampan alam sekitar desa; pengukuhan hubungan siimbiotik bandar dan desa; pengukukuhan daya huni desa; memperkasa ekonomi desa dan pengurusan desa berdaya laksana.

Beliau menambah, lima teras utama itu akan dilaksanakan melalui 17 pernyataan dasar, 46 strategi dan 114 langkah yang telah digariskan bagi empat tujuan.

Tujuan-tujuan itu ialah menyediakan kemudahan awam dan infrastruktur yang baik dan mencukupi; meningkatkan dan mempelbagaikan ekonomi desa dengan menggunakan kepelbagaian sumber yang sedia ada dan secara mampam; menyokong pembangunan komuniti yang pro aktif, berdaya maju dan mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi dan memelihara alam semula jadi dan biodiversiti desa.

“Adalah diharapkan apabila suasana kehidupan di luar bandar menarik, lebih selamat, lebih sihat dan lebih berdaya maju, maka penghijrahan penduduk luar bandar dapat dikekang dan mereka kekal di luar bandar,” kata beliau.

Terdahulu, Zainun menimbulkan isu sekolah kekurangan pelajar (SKM) yang berlaku di seluruh negeri, termasuk dua di Chenderoh yang mempunyai kurang daripada 100 murid.

Saarani berkata, kerajaan negeri memang menyedari isu tersebut yang dikaitkan dengan bilangan keluarga produktif yang berkurangan disebabkan penghijrahan.

Bagaimanapun, kata beliau, adalah menjadi polisi Kementerian Pendidikan untuk tidak menutup SKM, sebaliknya digabungkan atau dipindahkan ke lokasi baru sekiranya perlu.