IPOH: Langkah proaktif yang diambil melalui pelan tindakan strategik anti dadah yang diperkenalkan lebih setahun lalu, telah mula menunjukkan kesan positif.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, statistik kadar penagihan telah mula menunjukkan penurunan.

a582bdb5-d032-408e-a292-264294de0f0d“Ia telah mula menunjukkan penurunan secara perlahan-lahan,” katanya ketika berucap di majlis perasmian penutup program motivasi kepulihan orang kena pengawasan (OKP) di Dewan Komuniti Kawasan Sungai Tapah, di sini, hari ini.

Hampir 200 OKP menghadiri program sehari itu yang diadakan sempena permukiman Menteri Besar di Daerah Kinta.

Hadir sama Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak, Khairul Anwar Ahmad.

Samsudin yang juga Pengerusi PEMADAM negeri Perak berkata, langkah proaktif yang diambil itu melibatkan pelbagai pihak dan agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Beliau menambah, langkah-langkah tersebut akan terus diperhebatkan lagi, bagi mensasarkan Perak tidak lagi menjadi kawasan berisiko tinggi dadah menjelang 2020.

Beliau memberitahu, setakat ini Perak mempunyai 30 kawasan ‘hotspot’, termasuk beberapa kawasan di daerah Kinta.