IPOH: Pelan Tindakan Strategik (PTS) PEMADAM Perak 2015 – 2020 yang dilancarkan tahun lalu telah menunjukkan impak yang positif, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Beliau berkata, impak itu diperolehi hasil laporan separuh tahun pertama 2016, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut beliau, daripada empat penanda aras melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) yang digariskan, dua daripadanya telah mencapai sasaran.

Dua KPI itu ialah penurunan 46.8 peratus bilangan Orang Kena Pengawasan (OKP) berbanding 10 peratus sasaran dan penurunan positif ujian urin pelajar sebanyak 33.8 peratus, berbanding sasaran 10 peratus.

Dua lagi KPI yang tidak mencapai sasaran ialah peningkatan 10 peratus penangkapan kes berkaitan dadah sedangkan pencapaiannya hanya 9.1 peratus dan peningkatan kes yang disabitkan di mahkamah hanya 35 peratus, berbanding sasaran 50 peratus.

“Kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi kajian intervensi yang telah diambil sehingga kini, untuk melihat keberkesanannya,” katanya ketika menggulung perbahasan semasa Sidang DUN pada Jumaat.

Bagi tujuan itu, Samsudin berkata, beliau akan mencadangkan supaya satu jawatankuasa kaji selidik intervensi ditubuhkan.

Menurutnya, jawatankuasa ini yang akan dianggotai oleh ahli-ahli akademik dan pengkaji selidik dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), PEMADAM, AADK dan NGO akan mengkaji keberkesanan semua intervensi yang dijalankan serta mencadangkan lain-lain intervensi pencegahan dan pemulihan penagih dadah.

Sambil merujuk kepada kebimbangan Aznel Ibrahim (BN – Pengkalan Hulu), Samsudin menjelaskan, Pengkalan Hulu bukanlah antara daerah yang mempunyai bilangan kes dadah yang tinggi.

Contohnya, kata beliau, bilangan OKP baru di Daerah Hulu Perak berada di tangga ke Sembilan daripada 11 daerah di negeri ini manakala bilangan kes penangkapan penagih dadah pula, Hulu Perak berada di tangga ke tujuh.

Mengenai cadangan Radzi Zainon (PAS – Sungai Rapat), beliau memberitahu, kertas kerja mengenai PTS khusus untuk membendung gejala sosial akan disediakan dalam masa terdekat.