KUALA LUMPUR: Upacara pelancaran dan menamakan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh seorang wanita atau ‘Lady Sponsor’ adalah acara tradisi sejak armada pertahanan maritim itu ditubuhkan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata , Lady Sponsor atau wanita yang terpilih adalah daripada kalangan isteri kenamaan seperti isteri kepada Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, kerabat diraja atau Sultan.

“Ia adalah upacara tradisi yang sudah dilaksanakan sejak Royal Navy ditubuhkan namun ia disesuaikan dengan syariat Islam dan adat ketimuran Malaysia.

“Bagi kapal-kapal yang dinamakan sempena nama negeri, isteri atau wanita yang ada kaitan dengan negeri terbabit akan dipilih.

“Sebagai contoh, kapal KD KEDAH dinamakan oleh Puteri Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata untuk kapal yang dinamakan sempena nama pahlawan, wanita kepada waris nama itu atau wanita kenamaan dari negeri terbabit akan dipilih.

Sebagai contoh, katanya kapal Littoral Combat Ship (LCS) 1 iaitu Maharajalela dinamakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

“Untuk kapal-kapal selain daripada nama negeri dan pahlawan pula, isteri kenamaan negara dipilih.

“Sebagai contoh KD Tunku Abdul Rahman, ia dinamakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Pada 1995, KD Jebat dinamakan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali iaitu isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri pada ketika itu,” katanya.

Justeru katanya, upacara pelancaran dan penamaan kapal TLDM oleh wanita atau Lady Sponsor adalah amalan biasa.

“Ini termasuk upacara pelancaran dan penamaan kapal misi pesisir (littoral mission ship atau LMS) yang disempurnakan oleh isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi di Wuhan, China, semalam.

“Kapal LMS pertama TLDM itu dinamakan KD Keris,” katanya.

Dalam kenyataan itu, TLDM turut melampirkan senarai kapal dan tokoh yang melancarkannya bermula dari 1964 hingga 2017 – Berita harian