MIRI: Pelancong lelaki warga Britain, Nigel Bevan yang kritikal setelah terjatuh ketika mendaki Gunung Mulu pada Isnin, meninggal dunia pagi Selasa.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata menurut pasukan mencari dan menyelamat yang tiba di lokasi kejadian, ketika mereka berjaya menemui pelancong berusia 50 tahun itu malam Isnin, beliau masih sedar dan boleh bercakap.

Mangsa, bagaimanapun tidak sedarkan diri semasa dibawa turun ke bawah pada 2.28 pagi, katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata Unit Udara Bomba Miri dari Mulu kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Miri menerima rawatan pada 9.35 pagi Selasa.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala akibat terjatuh di laluan dikenali sebagai ‘Pinnacle Trail’ di Gunung Mulu, Isnin. – Bernama