Cameron Highlands: Pelancong warga Hong Kong yang sesat 16 jam, ditemui selamat tiga kilometer dari puncak Gunung Berembun, di sini, jam 12.44 tengah hari semalam.

Sau Mui, 67, ditemui sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak jam 9.22 malam kelmarin.

Difahamkan, wanita itu bersama seorang rakannya mula mendaki gunung terbabit dari kawasan perkhemahan dekat Pejabat Hutan Daerah jam 11 pagi kelmarin sebelum mereka terpisah.

Rakannya yang gagal menemui Sau Mui turun dan memaklumkan kehilangan kepada seorang lagi kenalan mereka yang menunggu di kaki gunung.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan itu pada jam 8.30 malam sebelum SAR digerakkan bermula jam 9.22 malam.

“Operasi dipecahkan kepada beberapa sektor pencarian dan disambung semula pagi tadi membabitkan empat kumpulan penyelamat.

“Kami fokus kepada laluan ke Gunung Berembun, laluan Pejabat Hutan Daerah ke Gunung Berembun dan ladang teh ke puncak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, wanita itu ditemui keletihan di laluan turun dari puncak gunung dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dia diberi makan dan minum serta rawatan awal sebelum dibawa turun. Mangsa masih boleh berjalan hingga ke kaki gunung,” katanya yang memberitahu mangsa dirujuk ke Hospital Cameron Highlands dan menerima rawatan pesakit luar – berita harian