Oleh:Nazialita Geynna Maharan

CAMERON HIGHLANDS: Seorang pelancong asing warga Kanada berdepan dengan detik-detik cemas hampir dua jam apabila dipercayai sesat di puncak Gunung Jasar di sini pada petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 4 petang itu, mangsa berumur 25 tahun berketurunan Jepun itu mendaki gunung tersebut seorang diri sebelum sesat di puncak gunung berkenaan.

Tindakan pantas mangsa berjaya menyelamatkan dirinya apabila dia sempat menghubungi rakannya di Kuala Lumpur bagi menyatakan situasinya yang terkandas di lokasi puncak pendakian itu.

Pelancong Berjaya Diselamatkan Pihak Bomba

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Mohd. Nazri Safiee berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa sekitar pukul 4.16 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Tiba di kaki gunung, anggota terus melaksanakan misi mencari mangsa dan menjumpainya di puncak gunung kira-kira tujuh kilometer dari kaki gunung.

“Mangsa berada dalam selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi pada malam Selasa.

Menurutnya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 6.06 petang.