IPOH: Sektor pelancongan antarabangsa di Perak meningkat 10 peratus sepanjang suku pertama hingga ketiga tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Bagaimanapun kata beliau, terdapat sedikit cabaran untuk pelancongan domestik.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap sektor pelancongan domestik akan meningkat selepas cuti sekolah ini.

“Kita akan membuat sidang media khas untuk melaporkan prestasi Tahun Melawat Perak (TMP) 2017,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan bagi mengumumkan Taiping International Flag Marathon (TIFM) 2018, yang merupakan marathon pertama di negeri Perak

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini mengenai prestasi TMP 2017.

Nolee berkata, Ipoh dan Taiping adalah antara destinasi pelancongan yang menarik ramai pengunjung di samping memperlihatkan peningkatan dari pelbagai segi penginapan, peniaga dan perkhidmatan.

“Ini semua merupakan tanda aras untuk mengetahui sama ada pembangunan itu berlaku atau tidak di dalam industri pelancongan,” ujarnya.

Mengenai rancangan pelancongan untuk tahun hadapan, beliau memberitahu, terdapat banyak projek yang telah diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, antaranya antaranya Silverlakes Brand Village Outlet di Batu Gajah dan penjenamaan semula bandaraya Ipoh.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia menunjukkan negeri Perak telah menerima kedatangan pelancong domestik tertinggi selama empat tahun berturut-turut mulai 2012 hingga 2015.

Manakala pada 2016, Perak berada di kedudukan kedua tertinggi dengan jumlah pelancong 7.2 juta, di belakang Johor yang mencatatkan 7.4 juta.

Bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Perak, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM8 juta pada tahun 2018.