IPOH: Pelancongan sukan bakal menjadi salah satu komponen utama dalam merancakkan lagi promosi Tahun Melawat Perak 2017 (TMP2017), kata Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menteri Besar berkata, komponen itu merupakan salah satu hasrat kerajaan negeri dalam menaikkan kemasukan pelancong asing melalui pelbagai acara sukan antarabangsa sepanjang tahun 2017.

Menurut beliau, pelancongan sukan bakal bermula dengan Piala Hoki Sultan Azlan Shah pada 29 April ini yang menyaksikan enam negara mengambil bahagian dan diikuti dengan Kejohanan Ragbi Antarabangsa seminggu selepas itu.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri juga akan menimbangkan pelbagai lagi sukan baharu seperti berbasikal, marathon, triathlon dan sebagainya.

“Telah saya tekankan berulang kali, apa kata kita bawa kesemua atlit dunia ke Ipoh, sebagai salah satu kaedah merancakkan industri pelancongan dengan lebih baik dan berlainan.

“Biar atlet tempatan Perak menjadi duta dan atlet bertaraf antarabangsa akan datang ke Perak merasai sendiri keunikan dan keindahan negeri ini,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Bangunan Darul Ridzuan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Zambry dengan tegas menyatakan bahawa pengiktirafan Ipoh dan Perak sebagai lokasi wajib dilawat di Lonely Planet, sebuah majalah pelancongan berprestij, merupakan bukti pencapaian dan kualiti negeri di mata dunia.