KUALA LUMPUR: Seorang pelanggan wanita di sebuah kedai dobi layan diri melecur 50 peratus selepas premis berkenaan terbakar dalam satu kejadian di Taman Jinjang, di sini, semalam.

Difahamkan, wanita berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di wad kebakaran, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pegawai Kanan City Coin Laundry Sdn Bhd, Kelvin Ang berkata, pihak terkejut selepas mendapat maklumat mengenai kebakaran di salah sebuah cawangan dobi milik mereka.

“Berita ini memang mengejutkan memandangkan kami antara pelopor dalam perniagaan dobi yang sentiasa mengamalkan langkah keselamatan tertinggi di semua cawangan bagi memastikan keselamatan pelanggan.

“Buat masa ini kami masih tidak tahu punca kebakaran, namun pihak syarikat kini sedang memberi tumpuan terhadap keadaan mangsa yang melecur dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wanita tempatan itu dikatakan sedang menunggu cuciannya di dalam kedai dobi berkenaan sebelum api mula merebak dan memusnah 80 peratus premis.

Seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, Sentul, Hang Tuah dan Sri Hartamas terbabit dalam operasi memadamkan api di kedai dobi itu.

Kelvin berkata, sebelum kejadian, terdapat kerja penyelenggaraan yang dijalankan di premis itu pada sebelah petang dan perkara itu mungkin menyebabkan punca kebakaran.

“Secara peribadi, saya mengesyaki kebakaran ini ada kaitan dengan kerja penyelenggaraan yang dijalankan pada sebelah petang, namun kami menunggu laporan forensik terlebih dahulu selain akan memberikan kerjasama penuh kepada bomba,” katanya.

Beliau berkata, pihak syarikat berjanji untuk memberi sebarang bantuan yang diperlukan mangsa kerana ia menjadi tanggungjawab mereka untuk berbuat demikian.

“Kami mempunyai lebih 400 cawangan di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara dalam tempoh empat tahun. Ini adalah kejadian yang pertama,” katanya yang menambah anggaran kerugian dianggarkan bernilai RM300,000.

Usaha untuk menemubual mangsa di wad kebakaran HKL adalah gagal kerana pihak keluarga meminta agar mangsa tidak diganggu buat masa ini.

Gambar kebakaran mula tular di laman sosial sejak malam tadi – berita harian