PENGKALAN HULU: Masalah pelantikan ketua-ketua kampung di seluruh negeri dijangka selesai sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu sedang diselesaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi.

Menurut beliau, terdapat banyak kampung yang telah selesai pelantikan ketua kampung dan bakinya memerlukan sedikit masa.

“Buat masa ini, saya tak boleh nak beri peratusannya tetapi kita akan selesaikan dalam tahun ini juga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan hak milik kepada 140 peneroka Felda Nenering 1, dekat sini, pada Isnin.

Menurut Ahmad Faizal, ketiadaan ketua kampung itu mungkin menimbulkan sedikit masalah kepada orang kampung kerana mereka sudah biasa berurusan dengan ketua kampung apabila timbul masalah.

“Bagaimanapun, apa juga masalah rakyat dapat kita atasi kerana kita memang ada satu sistem pentadbiran yang lengkap, cuma di peringkat kampung sahaja belum.

“Oleh itu, saya berharap, buat masa ini orang-orang kampung boleh berhubung terus dengan pejabat Penghulu atau pejabat khidmat wakil rakyat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Menteri Besar memberitahu, proses untuk mengadakan bengkel mengenai pemilikan tanah telah dimulakan.

Menurutnya, baru-baru ini beliau telah mengadakan perjumpaan dengan para pegawai berkenaan bagi mengenalpasti para peserta bengkel.

Katanya, hasil dapatan daripada bengkel itu akan dikumpulkan untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan diadakan tahun ini juga.

“Dalam bengkel ini, kita akan bincangkan pandangan kerana sekarang ini terdapat beberapa pandangan yang berbeza berkenaan dengan kuasa untuk memberi hal milik kekal dan sebagainya.

“Jadi, saya nak dengar semua pandangan dan akhirnya, oleh kerana kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dari parti yang sama, maka kita ada pemimpin yang boleh kita kemukakan apa sahaja masalah dan pandangan yang berbeza ini untuk dibuat keputusan yang terbaik untuk rakyat,” tambahnya.

1/4