PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan, keputusan melantik syarikat Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) ke dalam panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan melalui kad inden dibuat secara pentadbiran untuk perjalanan urusan operasi.

Kementerian Kewangan berkata, perkara itu tidak dirujuk sama sekali kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan dijalankan tanpa campur tangan politik.

Kementerian itu merujuk kepada kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung pelantikan syarikat itu, yang disifatkan sebagai tidak berasas.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib sepatutnya tahu bahawa BHP dan Caltex boleh memohon untuk menjadi ahli panel sekiranya mereka berminat. Pihak Kementerian Kewangan akan memproses sebarang permintaan berdasarkan garis panduan yang terpakai ke atas Petronas, Shell dan Petron.

“Dengan lantikan ini, panel kad inden berkenaan sekarang dianggotai oleh Petronas, Shell dan Petron. Ketiga-tiga syarikat mempunyai rangkaian stesen minyak terbesar di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Najib sebelum ini berkata, pelantikan Petron sebagai salah satu pembekal bahan api untuk kenderaan kerajaan boleh mencetuskan konflik moral kerana ramai percaya bahawa Petronas sebaliknya yang seharusnya mengambil alih.

Kementerian Kewangan berkata, Petron hanya dilantik ke dalam panel berkenaan pada tahun ini selepas rundingan dua tahun dijalankan.

Katanya, Petron membuat permohonan pada 2016 dan pada Disember 2017, syarikat itu bersetuju memberikan Kerajaan Persekutuan penjimatan kecil melalui program kad indennya.

“Rundingan yang bermula di bawah pimpinan Datuk Seri Najib menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu tiada halangan menimbang permohonan Petron dan Kerajaan Persekutuan terbaharu hanyalah meneruskan proses dalaman mengikut panduan jelas yang sedia ada.

“Kebenaran ke atas permohonan Petron juga tidak memakan apa-apa kos kepada Kerajaan Persekutuan dan proses dalaman ini tidak memerlukan kebenaran Menteri Kewangan.

“Pelantikan ke dalam panel ini adalah telus dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu yang terbabit dalam politik,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, seperti yang dinyatakan pada 30 Ogos lalu, Kementerian Kewangan tidak menghalang mana-mana syarikat minyak seperti BHP dan Caltex untuk memohon dimasukkan ke dalam panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan melalui kad inden.

“Jumlah anggota tidak dihadkan oleh Kementerian Kewangan dan ia boleh diluaskan lagi jika pembekal lain membuat permohonan rasmi dengan memberikan Kerajaan Persekutuan penjimatan munasabah melalui kad inden.

“Buat masa ini, tiada permohonan telah diterima oleh Kementerian Kewangan daripada mana-mana syarikat pembekal bahan api yang lain,” katanya.

Sebelum ini, satu surat bertarikh 3 Ogos 2018 mengenai pelantikan Petron sebagai pembekal minyak untuk kenderaan kerajaan, viral di media sosial.

Surat itu juga disiarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, yang turut mengaitkan pelantikan syarikat Petron itu dengan anak Perdana Menteri, Mirzan Mahathir – berita harian