IPOH: Keputusan sama ada Ketua Srikandi PKR Pusat, Siti Aishah Shaik Ismail akan dilantik sebagai penasihat Menteri Besar Perak atau sebaliknya akan diketahui pada 20 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan itu akan diketahui dalam Mesyuarat Pakatan Harapan yang berlangsung pada hari tersebut.

Menurut beliau, penangguhan pelantikan itu dibuat ekoran Siti Aishah belum menerima pelantikan rasmi.

“Jumaat ini akan dibincangkan secara menyeluruh, setelah itu barulah kita (Pakatan Harapan) mendapat tahu keputusan sama ada dia (Siti Aishah) boleh atau tidak, serta apa jawatannya.

“Buat masa ini masih terawang-awangan lagi (keputusan pelantikan),”katanya kepada pemberita di Majlis Silaturrahim Sambutan Aidilfitri di Dewan Balai Lintang, Masjid Al-Hidayah di sini pada Ahad.

Mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya pelantikan Siti Aishah sebagai satu pembaziran, Nizar berkata:-

“Sekiranya kita sudah mengambil kira aspek semua pelantikan, sama ada pegawai yang ada hari ini boleh melaksanakan kerja masing-masing…semua itu diambil kira dan selepas itu baru diputuskan,”katanya.

Pada 3 Julai lalu, Siti Aishah yang juga Senator telah menarik diri sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak PKR pada saat-saat akhir kerana DAP bertegas mahukan jawatan itu.

Jawatan itu akhirnya dimenangi Ahli Parlimen Beruas yang juga Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-14 bagi pemilihan Speaker dan angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN.

Dalam pada itu Nizar turut diminta mengulas sama ada pelantikan penasihat Menteri Besar perlu dikaji semula.

“Kami bukan hanya kaji jawatan jawatan dalam pejabat Menteri Besar, jawatan lain pun kita kaji semula.

“Itu sebabnya Menteri Besar ada buat kenyataan baru-baru ini tujuh Pegawai GLC sudah kena pecat, semua itu terhasil daripada kajian yang sama,”ujarnya.

Ditanya sama ada kajian itu akan memberi kesan kepada pelantikan Datuk Zainol Fadzi Paharudin untuk dinilai sekirany:a masih sah atau sebaliknya, Nizar berkata:-

“Yang itu (pelantikan) telah diputuskan dan tidak timbul soal sah atau tidak,”kata Nizar