PETALING JAYA : Seorang wartawan dari Pakistan yang menjadi pelarian di Malaysia selama 8 tahun, bimbang dengan keselamatan dirinya selepas diugut sebuah agensi risikan di negara asalnya.

Syed Fawad Ali Shah yang menyiasat kes orang hilang di Pakistan pada 2008 sehingga menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri ke negara ini, berkata ugutan dalam bentuk sepucuk surat itu dihantar melalui kurier ke rumahnya di Lembah Klang pada 9.30 pagi 6 Dis lalu.

“Surat itu menyatakan ‘Dengar sini Fawad, ingat layanan terakhir yang diberikan kepada anda. Kami ingat anda sudah mendapat pengajaran, tetapi anda masih tidak berkelakuan baik’,” katanya kepada FMT.

Beliau diberikan “peluang terakhir” untuk ke sebuah agensi di Kuala Lumpur bagi mendapatkan pasport kecemasan.

“Mereka akan aturkan tiket anda dan perkara lain, jika anda enggan berbuat demikian, maka kami akan menjadikan anda contoh mengerikan,” kata Fawad memetik surat itu.

Surat itu turut dimasukkan satu peringatan yang ahli keluarganya masih berada di Pakistan.

Fawad mendakwa beliau mengenali logo agensi pada sampul surat itu yang menyerupai ISI (Perkhidmatan Perisikan Dalaman), agensi risikan utama di Pakistan.

Katanya, beliau tidak rasa selamat berada di sini dan terkejut agensi di Pakistan itu tahu alamatnya di Malaysia.

“Saya membuat laporan untuk perlindungan diri dan jika ada apa-apa berlaku kepada saya, agensi di Pakistan itu perlu bertanggungjawab.”

Katanya, selepas membuat laporan, beliau disoal siasat polis selama 3 jam dan kesnya kini dikendalikan Cawangan Khas untuk siasatan lanjut.

Fawad datang ke Malaysia pada 2011 melalui Thailand dan diberikan status pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Masalah mula timbul pada 2008 apabila beliau memutuskan untuk menyiasat kes orang hilang di Pakistan. Ia menyebabkan beliau percaya pihak berkuasa terbabit dalam kes orang hilang itu, dengan ramai yang didakwa bermacam-macam, daripada menjadi pengintip Amerika Syarikat dan India sehinggalah bekerja untuk Taliban.

Beliau masih meneruskan siasatan ke atas kes orang hilang, sementara berusaha untuk artikel lain. Pada 2010, beliau ditahan selama 18 hari dan disoal siasat pegawai yang membawa fail ISI.

Fawad kemudiannya dibebaskan dengan amaran untuk berhenti menulis mengenai orang hilang dan meninggalkan bidang kewartawanan.

Pada Ogos 2011, beliau terbang ke Thailand dengan simpanan AS$2,500. Dari sana, beliau menuju ke Pulau Pinang dan bekerja untuk sebuah syarikat memantau CCTV dengan pendapatan RM1,100 sebulan.

Beliau hanya diiktiraf sebagai pelarian selepas ditemubual UNHCR sebanyak 18 kali.

Fawad masih menulis artikel mengenai negara asalnya yang disiarkan beberapa akhbar