IPOH: Sesi persekolahan bagi murid tahun satu di setiap sekolah rendah pasti tidak terlepas dengan ragam dan sedikit ‘drama’ sebelum mereka benar-benar dapat menyesuaikan diri.

Begitu juga situasi yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Convent, Ipoh di mana keseluruhan 52 pelajar tahun 1 memulakan sesi persekolahan hari ini.

Kebanyakan daripada mereka teruja, tidak kurang juga yang mengalirkan air mata, namun perjalanan serta pengurusan kelas berjalan lancar dengan pemantauan guru-guru.

Pasangan kembar Ainul Adawiyah Mohd Zarulhafiz, 7, dan Ainul Zinnirah, 7, turut mencuri tumpuan dengan ditemani ibu bapanya ke sekolah.

“Tak sama kelas dengan adik tapi saya tak takut sangat. Kawan-kawan pun ada teman. Cikgu pun baik dan tak garang,” kata Ainul Adawiyah semasa ditemui di perhimpunan pagi SK Convent, Ipoh pada Selasa.

Menurut bapa mereka, Mohd Zarulhafiz Abd Razak, 34, segala persiapan untuk menguruskan anak-anak berjalan lancar dan lebih mudah kerana mereka di sekolah yang sama.

“Insya Allah, saya kira mereka sudah boleh sesuaikan diri sebab dari tadika memang mereka diasingkan dan tak sama kelas. Harapan saya supaya anak-anak dapat gunakan masa dan peluang untuk belajar dan jadi anak yang soleh,” ujar Mohd Zarulhafiz yang juga seorang guru.

Dalam pada itu, Ketua Sektor, Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Perak, Rahimah Mohamed memberitahu, bilangan pelajar tahun 1 di seluruh Perak berjumlah 32,463 orang.

“Untuk hari pertama ini, semua pegawai dan juga Ketua Sektor serta yang terlibat bergerak ke sekolah-sekolah untuk bersama menyambut kehadiran murid bagi sesi persekolahan 2017.

“Kita mahu pastikan perjalanan dalam keadaan teratur dan terkawal bagi mengelakkan isu yang tidak diingini berlaku,” katanya.