LUBUK MERBAU: Kerajaan negeri Perak dan pelbagai agensi melakukan pelbagai usaha untuk membantu memulihkan sepenuhnya bekas penagih dadah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, selain usaha yang dilakukan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PEMADAM, kerajaan negeri sendiri membuat sistem rumah PENGASIH untuk membantu rakyat.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sayang kepada rakyat, termasuk bekas penagih dan tidak mahu menganggap mereka umpama sampah masyarakat.

“Kita sayang kepada rakyat kita, tetapi mereka juga mesti sayang dan kasih pada diri sendiri,” katanya ketika berucap di dalam Program Keluarga Bebas Dadah : Masih Ada Yang Sayang bersama keluarga Orang Kena Pengawasan (OKP) di pekarangan Kompleks Penghulu Lubuk Merbau di sini pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan; ADUN Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Md Nor.

Dr Zambry berharap masyarakat juga jangan sekali-kali menghina dan memandang rendah kepada bekas penagih, sebaliknya bersama-sama membantu memulihkan sepenuhnya mereka.

Dalam masa sama, beliau meminta semua pihak berusaha bersama-sama untuk membenteras penyalahgunaan dadah sehingga ke akar umbi.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan beberapa anugerah kepada individu dan pihak yang banyak membantu usaha memerangi penyalahgunaan dadah, kampung bebas dadah dan bekas penagih.

Sementara itu, Samsudin yang turut melakukan lawatan ke tiga buah rumah OKP berkata, pihaknya juga akan mencuba cara perubatan Islam untuk membantu golongan tersebut.

usaha-bantu-bekas-penagih