MASYARAKAT Orang Asli di negara ini bukan sahaja terkenal dengan pelbagai keunikan khazanah warisan alam, seni, budaya tetapi juga pelbagai makanan tradisional.

Antara tempat terbaik untuk melihat sendiri segala hasil warisan ini ialah di Perkampungan Orang Asli Pos Raya di Simpang Pulai berhampiran bandaraya Ipoh.

Terdapat kira-kira 500 keluarga suku kaum Temiar tinggal di perkampungan ini yang masih mengekalkan budaya asal mereka walaupun sudah menikmati pelbagai faedah pembangunan negara dan pemodenan semasa.

Kampung Pos Raya yang menjadi penempatan Orang Asli sejak 1954 turut menampilkan keunikan budaya menerusi penghasilan baju daripada kulit kayu pokok terap.

Baju yang dahulunya digunakan ketika berperang, kini sering digunakan semasa sambutan perayaan, perkahwinan atau dipakai oleh penari tarian sewang.

Banyak kegunaan kulit kayu

BERNAMA berkesempatan menemu bual seorang pengusaha kulit kayu terap dan wanita ini, Misah Selong, 43, belajar menjahit daripada datuknya sejak 15 tahun lepas.

Menurut beliau, selain baju, seluar dan selimut juga boleh dihasilkan daripada kulit kayu pokok berkenaan yang mudah didapati di pinggir hutan Kampung Pos Raya.

“Kayu pokok terap ada banyak jenis tetapi yang paling bagus ialah dari jenis pokok terap hitam. Baju kulit kayu ini boleh dicuci dan tahan sehingga setahun jika betul cara menjaganya,” kata Misah.

Menceritakan lebih lanjut proses membuat serta menjahit barangan daripada kulit kayu itu, wanita itu berkata, pokok terap tidak boleh ditebang dengan sewenang-wenangnya dan penebangan dibuat berdasarkan keperluan untuk menghasilkan sesuatu barangan.

Tambahnya, apabila pokok itu sudah ditebang, permukaan kulit kayu perlu dibuang dan yang diambil ialah lapisan kedua yang diketuk perlahan-lahan dengan sejenis pengetuk khas bagi melembutkannya serta menjadi lebar dan nipis.

“Kulit kayu ini perlu dibasuh dan dijemur di tempat yang teduh untuk dikeringkan sebelum digunting, dijahit.
Ia juga perlu dicuci semula sebelum digunakan.
“Satu set baju yang lengkap dengan seluar dan topi tempo (diperbuat daripada daun palas atau daun salak hutan) akan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan. Sehelai baju kulit kayu ini boleh dijual antara RM70 hingga RM80.

“Saya turut menjahit manik pada baju supaya nampak lebih menarik,” katanya sambil menambah beliau juga menerima tempahan dari negeri lain.

Warisan dan tradisi

Misah turut berkongsi sejenis makanan tradisi Orang Asli iaitu ‘kewai kemnem’ atau ubi kayu bakar yang dikatakan makanan wajib yang perlu ada pada setiap musim perayaan dan sering dihidangkan kepada pengunjung ke penempatan Orang Asli itu.

Menurut Misah, ubi kayu yang diparut halus dengan menggunakan duri batang rotan serta dibalut dengan daun lar tidak perlu ditambah air atau santan kerana ia mampu dimasak menerusi air semula jadi yang terkandung di dalam batang buluh.
Sumpit ialah peralatan yang sinonim dengan budaya masyarakat Orang Asli dan Aju Alang, 46, yang tinggal di Kampung Pos Raya ini, antara yang mahir membuat dan menggunakan sumpit.

“Cara untuk menyumpit iaitu perlu memegang sumpit dengan kedua-dua belah tangan dan ia diletakkan di bibir. Angin dari mulut disimpan sebelum menghembus sumpit sekuat-kuat nafas,” katanya.

IPOH, 8 Ogos -- Seorang penduduk Perkampungan Orang Asli Pos Raya menunjukkan kemahiran menyumpit ketika lawatan media ke kampung itu baru-baru ini.?Kampung Pos Raya yang merupakan sebahagian daripada kawasan Geopark Lembah Kinta itu, bakal menerima pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan selewat-lewatnya pada November tahun ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

Guna buluh tangkap ikan

Masyarakat Orang Asli di Kampung Pos Raya juga masih menggunakan bubu buluh yang diperbuat daripada rotan untuk menangkap ikan air tawar seperti ikan tengas atau ikan daun di Sungai Raya yang terletak tidak jauh dari perkampungan ini.

Tok Batin kampung berkenaan, Ayob Alang, 46, berkata, bubu diletakkan secara melawan arus di celah batu dan seelok-eloknya dipasang seawal 7.00 pagi dan ia perlu diambil semula dalam tempoh 12 jam untuk memperoleh hasil tangkapan.

Bercakap mengenai tarian sewang, beliau berkata, ia adalah satu bentuk tarian yang dipersembahkan sebagai hiburan khusus kepada pengunjung yang melawat ke kawasan penempatan berkenaan.

“Tarian sewang memang tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat Orang Asli kerana ia mempunyai keunikannya yang tersendiri,” katanya yang merupakan generasi ketiga di perkampungan ini.


Geopark Lembah Kinta

Sementara itu, Mohd Sidi Daud, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains negeri berkata, Kampung Pos Raya adalah sebahagian daripada kawasan Geopark Lembah Kinta yang merangkumi sembilan tapak pelancongan serta 24 geoapark dengan kawasan seluas 1,958 kilometer persegi.

Beliau berkata, Geopark Lembah Kinta, yang memiliki kepelbagaian warisan geologi dan budaya, dijangka menerima pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan selewat-lewatnya pada November tahun ini. – BERNAMA

 

IPOH, 8 Ogos -- Penduduk Perkampungan Orang Asli Pos Raya, Aju Alang, 46, memotong dahan pokok terap dan dibelah bagi mendapatkan kulitnya untuk dibuat baju ketika menerima kunjungan anggota media di perkampungan itu di Simpang Pulai baru-baru ini.?Baju diperbuat daripada kulit pokok terap dahulunya digunakan ketika berperang, namun kini ia sering digunakan semasa sambutan perayaan, perkahwinan atau dipakai oleh penari dalam tarian sewang.?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA
IPOH, 8 Ogos -- Penduduk Perkampungan Orang Asli Pos Raya, Aju Alang, 46, memotong dahan pokok terap dan dibelah bagi mendapatkan kulitnya untuk dibuat baju ketika menerima kunjungan anggota media di perkampungan itu di Simpang Pulai baru-baru ini.?Baju diperbuat daripada kulit pokok terap dahulunya digunakan ketika berperang, namun kini ia sering digunakan semasa sambutan perayaan, perkahwinan atau dipakai oleh penari dalam tarian sewang.?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA