KUALA LUMPUR: Pelbagai keistimewaan ditawarkan Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) bagi menggalakkan ibu bapa membuat simpanan untuk masa depan pelajaran anak-anak termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) merangkumi SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Kenaikan jumlah pelepasan taksiran cukai dari RM6,000 kepada RM8,000 diumumkan pada Bajet 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada November lalu.

Selain pelepasan cukai taksiran, pendeposit juga memperoleh pelbagai kelebihan lain dengan dividen yang kompetitif, geran sempadan, kelayakan pinjaman PTPTN, takaful dan cabutan WOW! SSPN-i Plus.

Kelebihan yang ditawarkan kepada pendeposit ini adalah satu galakan kepada ibu bapa untuk menabung bagi simpanan pendidikan anak-anak dan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN semata-mata.

Dividen 4 peratus

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis, Abdul Ghaffar Yusop, berkata kenaikan sebanyak 29 peratus itu satu jumlah besar yang bukan saja memberikan pendeposit potongan taksiran cukai tetapi juga pendapatan melalui pemberian dividen.

“Terdapat dua kategori kelayakan iaitu taksiran berasingan yang memberi pelepasan cukai maksimum RM8,000 setahun untuk setiap suami dan isteri, manakala taksiran bersama pula menawarkan pelepasan cukai maksimum RM8,000 setahun untuk satu pasangan.

“Jika pendeposit (suami isteri) membuat taksiran cukai secara berasingan, mereka boleh membuka akaun berasingan untuk anak yang sama agar dapat menikmati pelepasan taksiran cukai maksimum sehingga RM8,000 seorang.

“Selain itu ibu bapa turut mendapat faedah sampingan menerusi dividen sebanyak 4 peratus yang diberikan setiap tahun dan ia sememangnya sangat menguntungkan,” katanya.

Buat pecahan simpanan

Menurut Abdul Ghaffar, syarat kelayakan bagi mendapat pelepasan taksiran cukai bagi SSPN-i dan SSPN-i Plus ini dikira berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa.

“Kita menggalakkan pendeposit membuat pecahan simpanan bermula Januari hingga Disember agar mereka boleh menyimpan secara konsisten serta tidak terbeban.

“Pendeposit juga mestilah terdiri daripada ibu bapa kandung atau ibu bapa angkat atau penjaga sah yang membuka akaun untuk manfaat anak,” katanya.

Kini seramai 3.9 juta pendeposit dengan jumlah simpanan sebanyak RM4.04 bilion.

Kata Ghaffar, masyarakat kini terutama ibu bapa berbelanja melebihi kemampuan sekali gus meletakkan simpanan anak di senarai terakhir apabila mendapat gaji.

“Tabiat itu harus diubah dan menjadikan simpanan adalah yang pertama dalam senarai perbelanjaan walaupun hanya RM1 sehari.

“Justeru, dengan memperkenalkan SSPN-I Plus pada 2015, pendeposit boleh membuat simpanan secara konsisten menerusi pemotongan gaji atau bayaran melalui kad debit,” katanya.

Tinggal dua hari lagi untuk ibu bapa dan orang ramai merebut peluang pelepasan cukai taksiran untuk tahun ini. Justeru, segeralah membuat simpanan dengan mudah di www.lovesspn.com – Malaysia kini