SHAH ALAM: Kelekaan sekumpulan samseng jalanan membuktikan kehebatan masing-masing dengan aksi berbahaya membawa padah apabila lapan daripada mereka dicekup pihak polis di Lebuh Raya Baharu Lembah Klang (NKVE), di sini malam tadi.

Operasi yang bermula pukul 11 malam itu berhasil atas pemerhatian Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Malah, kumpulan samseng jalanan itu dilihat cuba mempamerkan kehebatan masing-masing dengan aksi ‘Superman’, ‘Zig Zag’ selain membahayakan pengguna kenderaan awam lain.

Kesemua samseng jalanan itu dikesan melakukan aktiviti tidak berfaedah itu bermula dari kilometer 0.2 arah ke Bukit Jelutong hingga ke susur keluar Setia Alam sebelum berpatah balik.

“Kita akan meneruskan operasi samseng jalanan ini untuk menangani kegiatan yang bukan sahaja membahayakan nyawa mereka tetapi pengguna lebuh raya lain,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Sebanyak 10 buah motosikal turut disita manakala kesemua suspek ditahan manakala dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.