Sitiawan: Jika individu lain memilih menyantuni warga emas, anak yatim, fakir miskin atau gelandangan sebagai aktiviti kesukarelawanan, berbeza pula dengan seorang kakitangan Jabatan Pertanian yang lebih gemar bergiat aktif sebagai sukarelawan dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Kerana sayangkan alam sekitar, pengasas Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir Sitiawan (PSHBLS), A Hadi Kamil Ismail, 41, menjadikan pokok bakau sebagai ‘anak angkat’ pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam usaha meningkatkan populasi habitat itu di Kampung Parit Haji Dollah, Sungai Tiram di Sitiawan, Perak sejak Ogos, 2015.

Ini berikutan pokok bakau boleh menjadi benteng pertahanan semula jadi jika berlaku bencana alam selain berfungsi sebagai habitat hidupan laut seperti udang dan ketam yang memberikan sumber pendapatan kepada nelayan.

A Hadi yang juga Pengerusi PSHBLS itu berkata, faktor utama beliau terbabit dalam aktiviti kesukarelawanan alam sekitar adalah kesedaran mengenai fungsi hutan paya bakau yang akan memberi kesan kepada ekosistem habitat laut dan penempatan penduduk.

“Walaupun bukan anak jati kampung ini, saya menetap di sini sudah lama dan rasa ingin membantu melestarikan semula hutan paya bakau yang ada. Itu keutamaan saya memandangkan saya memang berminat dalam aktiviti seumpama ini yang memberi manfaat kepada orang ramai.

“Kemusnahan paya bakau mengancam habitat hidupan laut dan empat tahun lalu keadaan itu membawa kepada kebimbangan nelayan berikutan kekurangan hasil laut,” katanya.

A Hadi berkata, selain sebagai habitat hidupan laut, hutan paya bakau juga berperanan sebagai penahan semula jadi bencana alam.

“Sebenarnya kampung ini antara kampung yang menerima kesan daripada tsunami pada 2004 yang mana bencana itu menyebabkan berlaku hakisan sepanjang 300 meter dari laut sehingga menghampiri penempatan penduduk.

“Jadi saya rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama NGO seperti Global Environment Centre (GEC) yang membawa kesedaran dalam ‘menghidupkan’ kembali hutan paya bakau ini.

“Alhamdulillah dengan sokongan padu daripada agensi kerajaan dan NGO lain termasuk pelajar pusat pengajian tinggi dan sekolah, usaha ini semakin mendapat kesan positif dan difahami,” katanya.

-myMetro