Kuala Lumpur: Hektar Aneka Sdn Bhd komited menjadi pemaju yang membangunkan projek perumahan mampu milik di Lembah Klang sebagai usaha membantu golongan muda mempunyai kediaman sendiri.

Pengarahnya Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, pihaknya melancarkan projek kediaman di bawah Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) iaitu Residensi Hektar Gombak.

Katanya, sejak diperkenalkan syarikat menerima maklum balas positif daripada orang ramai dan setakat ini, 60 peratus unit sudah ditempah.

“Kami optimis keseluruhan unit Residensi Hektar yang mempunyai 2,400 unit pangsapuri berkeluasan 800 hingga 850 kaki persegi akan terjual dalam tempoh singkat.

“Harga ditawarkan juga berpatutan iaitu antara RM266,000 ke RM299,000 dengan lokasi, kemudahan dan fasiliti lengkap di tengah bandar raya Kuala Lumpur,” katanya selepas pelancaran Residensi Hektar Gombak di sini.

Rozabil berkata, lebih menarik pihaknya menawarkan konsep unik syumul yang menekankan aspek kerohanian, komuniti serta keselesaan dengan pelbagai fasiliti moden bertaraf pangsapuri kondominium.-metro