Oleh: Nazialita Geynna Maharan
LUMUT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak komited untuk memastikan ilmu asas perniagaan dapat digarap sepenuhnya oleh peserta yang mengikuti program Pasar Tani.
Pengarahnya, Basri Jasmo berkata,  kesempatan untuk menjadi peniaga dan usahawan di Pasar Tani merupakan persediaan dan latihan awal untuk menghadapi dunia perniagaan kelak.
Tambah beliau, sebagai contoh, terdapat 1,890 peserta Pasar Tani di seluruh negeri Perak dan 52 daripadanya adalah anggota dan pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengambil peluang sempena program My Best Buy baru-baru ini.
“Anggota TLDM ini terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan di Pasar Tani sebelum mereka meninggalkan kerjaya dan bersara kelak.
“Di luar sana, cukup banyak peluang perniagaan yang ada, jadi apabila mereka sudah tidak menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam, ilmu keusahawanan itu dapat diteruskan, menambah pendapatan dan menjadikan hidup lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir dalam Majlis Pelancaran Program Jualan Istimewa @ Pasar Tani NBOS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut sempena Permukiman Menteri Besar Daerah Manjung di sini, hari ini.
Turut hadir, ADUN Sungai Siput, Datuk Zulkafly Haron mewakili Datuk Saarani Mohamad merasmikan program berkenaan.
Basri menjelaskan, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menambah bilangan Pasar Tani pada tahun 2018 setelah melihat impak program itu kepada masyarakat setempat.
“Penambahan pengunjung di Pasar Tani bukan sahaja kerana peningkatan jualan atau pembelian semata-mata, tetapi juga peningkatan bilangan pelanggan, pertumbuhan penduduk secara pesat di satu-satu lokasi, jadi peluang ini harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.