Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Amanjaya Internship siri ke-5 kini membuka peluang kepada anak jati negeri ini berusia antara 18 hingga 30 tahun untuk menjadi pelatih politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Pengarah program, Al Yashir Yahaya berkata, anak-anak muda yang dipilih kelak akan diberi peluang selama sembilan minggu memahami serta merasai sendiri skop tugasan sebenar sebagai wakil rakyat dan mempunyai potensi cerah diserap masuk untuk bekerja sepenuh masa di Pejabat ADUN, syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan-badan berkaitan.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk generasi muda kita mendekatkan diri dengan kerajaan negeri, memahami apa yang dilakukan oleh ADUN-ADUN kita, rasai sendiri bagaimana mereka bekerja untuk rakyat.

“Setiap 31 ADUN Barisan Nasional (BN) Perak akan menerima seorang pelatih politik di kawasan masing-masing sebagai pendedahan serta menarik golongan anak muda ini mendekati sistem politik negeri,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Tambah beliau, pelatih yang terpilih kelak akan diberikan tugas seperti pengurusan pejabat, pengurusan program dan turun padang mendekati rakyat bersama ADUN masing-masing.

“Mereka juga akan diberi peluang melakukan program aktiviti Jalinan Rakyat seperti mengumpul data serta membuat bancian mengenai permasalahan belia di sesuatu kawasan,” jelas beliau.

Justeru katanya, golongan muda yang berminat untuk menyertai program tersebut boleh menghantar resume mereka mulai hari ini sehingga 20 November depan.

“Antara kriteria yang kita perlukan adalah mahasiswa atau mahasiswi yang lahir di negeri ini, memiliki keputusan akademik yang cemerlang dan boleh berkomunikasi secara efektif.

“Paling penting mereka adalah generasi muda yang menyokong penuh aspirasi kerajaan negeri,” ujar beliau.

Amanjaya Internship merupakan sebuah program perkaderan politik dibawah Pemuda BN Perak yang dikelolakan oleh Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) dengan sokongan penuh kerajaan negeri.

Program yang merupakan cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ini telah dimulakan sejak tahun 2013.

Kepada anak muda yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghantar resume ke emel:
application@amanjayainternship.com

Atau melayari lamanweb www.amanjayaintership.com serta menghubungi Sekretariat Amanjaya Intership di talian 018-3807950 (Wahida).