IPOH: Orang ramai berpeluang merasai kemanisan dan kelazatan makanan tradisional masyarakat Cina, Tang Yuan, sempena Perayaan Dong Zhi yang bakal diadakan di Pasaraya Aeon Big Falim pada Ahad, 10 Disember ini.

Sambutan perayaan Solstis Musim Sejuk itu yang dibuka kepada umum, dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Bukan Islam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Seksyen Wanita, Dewan Perhimpunan Cina Perak.

Pegawai Tadbir unit itu, Choong Shin Heng berkata, penganjuran festival itu pada kali ini terbuka kepada umum tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

“Acara tahunan ini kebiasaannya diadakan secara tertutup dengan menjemput pihak-pihak tertentu sahaja, namun kali ini, kita menganjurkan secara terbuka untuk memberi peluang kepada masyarakat berlainan latar belakang untuk turut memeriahkan perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata, Tang Yuan – sejenis manisan berbentuk bebola diperbuat daripada beras pulut, akan disediakan oleh 18 persatuan suku kaum Cina sempena perayaan itu dan ia adalah halal serta boleh dinikmati oleh semua pengunjung.

Sambutan itu yang akan bermula pada pukul 3 petang, akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam,Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon.