IPOH: Pelukis dari Lithuania, Ernest Zacharevic berkata, beliau tidak terasa hati atau marah apabila satu daripada mural yang dilukisnya di dinding rumah kedai di Pekan Lama, Ipoh, dicat semula pada bulan lalu.

Sebaliknya, beliau bersyukur pemilik bangunan itu telah membenarkan karyanya itu dilakarkan pada dinding kedainya, sedangkan banyak lagi pemilik yang tidak mahu berbuat demikian.

Katanya, sememangnya telah dipersetujui sebelum ini bahawa pemilik kedai itu berhak untuk memadamkan lukisan dinding itu jika dirasakan perlu berbuat demikian.

“Setiap kali saya mengecat dinding bangunan, selalunya ada persetujuan bersama bahawa pemilik boleh memadamkan karya itu jika ia menyakiti hati seseorang, mengganggu perniagaan mereka ataupun apabila lukisan itu menjadi pudar dan tidak lagi menarik perhatian,” katanya.

Beliau berkata, salah satu daripada tarikan seni jalanan ialah konsepnya yang bersifat sementara dan menjadi kebiasaan jika ia dipadamkan, menjadi rosak ataupun pudar.

Zacharevic yang pernah melukis dinding di Singapura, Eropah dan Amerika Syarikat, berkata, beliau mengetahui tentang pemadaman mural The Girl with the Stool and Birdcage itu daripada artikel dan berita yang dikongsi oleh rakan-rakannya.

Pelukis jalanan itu bertanggungjawab menghasilkan karya pada dinding enam bangunan di kawasan Pekan Lama Ipoh yang dapat ditemui di sepanjang Jalan Panglima, Jalan Pasar, Concubine Lane 3, Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Padang.

Beberapa lukisan beliau pernah menimbulkan kontroversi termasuk lukisan potret seorang lelaki Cina memegang secawan kopi yang dikatakan mirip pemimpin komunis, Chin Peng.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengicau kritikannya di Twitter terhadap kerajaan negeri kerana membenarkan mural The Girl with the Stool and Birdcage dicat semula.

Kritikan itu dijawab oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man yang menjelaskan bahawa lukisan itu dipadamkan oleh pemilik bangunan berkenaan yang memutuskan untuk mengecat semula kedainya untuk menambah keceriaan.

“Sebenarnya tiada isu sekiranya pemilik bangunan hendak menceriakan bangunan dgn mengecat semula bangunan mereka,” katanya.