DUSSELDORF – JERMAN. Seorang peserta lumba basikal Tour de France patah tulang bahu selepas disiku peserta lain.

Ketika kejadian, perlumbaan cuma berbaki 200 meter untuk ke peringkat seterusnya dan semua pelumba memecut laju sehingga kelajuan 60 kilometer per jam.

Menurut laporan CNN, insiden Peter Sagan menyiku Mark Cavendish Selasa lalu itu juga menyebabkan penunggang lain terjatuh.

Insiden tersebut juga menyebabkan Cavendish terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Sementara itu, Sagan pula disingkir dari perlumbaan oleh Kesatuan Pelumba Basikal Antarabangsa (UCI).

“Sebelum Tour de France berlangsung, kami beritahu pelumba kami perhatikan setiap perlumbaan dengan teliti. Itulah yang kami buat,” kata Pengerusi UCI, Phillipe Marien.

Marien menambah, hukuman terhadap sagan adalah berat kerana pelumba berkenaan membahayakan nyawa pelumba lain, selain Cavendish.

“Ini bukan tentang Sagan, tetapi tentang kelakuan dia. Apa yang terjadi, nampak seperti disengajakan dan umpama memukul individu lain.

“Ia bukan mengenai Sagan atau Cavendish. Ia boleh terjadi kepada sesiapa, tidak kira sesiapa pun,” tambah Marien.

Sementara itu, Sagan merayu supaya hukuman diringankan dan mendakwa Cavendish datang dari belakang dengan laju.

“Dia datang dan saya tidak sempat bertindak,” jelas Sagan.

Sagan berkata, beliau melawat Cavendish selepas insiden tersebut.

“Kami rakan dan insiden seumpama itu tidak patut berlaku. Saya harap Cavendish cepat sembuh,” kata Sagan lagi.