KUALA LUMPUR: Pemain futsal dari Sabah, Faizal bin Alli, 41, yang dipanah petir ketika menyertai Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) di Bukit Jalil pada Sabtu lalu, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (PPUKM) pada jam 11.02 pagi tadi.

Mangsa sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri dan dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU) di hospital sama.

Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengambil tindakan selanjutnya bersama-sama keluarga bagi urusan penghantaran pulang jenazah untuk dikebumikan di Tawau, Sabah.

Sabtu lalu, tiga pemain futsal cedera akibat disambar petir ketika menyertai perlawanan (LiSUS) peringkat kebangsaan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, jam 4.30 petang.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan mengatakan semua mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan menerima rawatan kecemasan.

Seorang daripada mangsa pemain yang turut disambar petir, Abdul Wahid Habib Abdullah, 25, memberitahu mereka dimaklumkan pengurus pasukan bahawa permainan akan dihentikan jika cuaca buruk.

Namun, apa yang berlaku, permainan diteruskan walaupun hujan lebat kira-kira jam 4 petang.

Dia yang bermain untuk pasukan Sri Aman dari Tawau, Sabah berkata, mangsa disambar petir mereka baru mahu memulakan perlawanan menentang pasukan dari Terengganu – berita harian