Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Pemain industri pembuatan dan pengeluar di negara ini disaran tampil membantu Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan mewujudkan jalinan kerjasama pintar bagi mempertingkatkan kualiti pelatih-pelatih keluaran institut tersebut.

Menterinya, M. Kulasegaran berkata penglibatan pemain industri berkaitan bidang kerja berkemahiran yang majoritinya didominasi kaum Cina perlu kerana kerjasama sedemikian dilihat mampu memberi dimensi baharu kepada ILP.

Menurutnya, selain dapat menarik minat lebih ramai lagi lepasan sekolah termasuk kalangan golongan muda kaum Cina untuk untuk belajar di ILP, penglibatan mereka dapat memastikan graduan-graduan yang dihasilkan menepati kehendak pasaran.

Katanya pada ketika ini kerjasama serta sokongan yang diberikan oleh pemain industri kepada ILP adalah sangat rendah.

“Terdapat 32 ILP kesemuanya di seluruh negara dengan setiap pusat pengajian dapat menampung 800 pelajar. Namun rata-rata ILP merekodkan jumlah pelajar yang agak rendah.

Misalnya ILP Ipoh hanya ada 491 pelajar walhal ia boleh menampung sehingga 800. Mungkin dengan kerjasama seperti ini, ia boleh memberi nilai tambah kepada kualiti kursus di pusat ini sekaligus memberi nilai tambah kepada graduan-graduan keluaran ILP ini nanti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program lawatan kerja ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kawasan Perindustrian Meru, dekat sini pada Ahad.

Kulasegaran bagaimanapun memberi jaminan hasrat Kementerian untuk mengoptimakan ILP tidak bermaksud merendahkan stardard kemasukkan serta kualiti tenaga pengajar di pusat ini.

Beliau turut akan mencadangkan penggunaan Bahasa Mandarin sebagai bahasa alternatif di ILP bagi menggalakkan kemasukkan pelajar daripada kaum lain selain penggunaan luas bahasa tersebut kalangan pemain industri dan dunia.

“Kita lihat jurang bahasa juga merupakan antara faktor yang menyebabkan kurangnya minat gologan muda kaum lain untuk belajar di ILP.

“Saya tidak nampak ianya sebagai satu masalah kerana mesin tidak bercakap sebarang bahasa khusus…yang penting adalah matlamat kita adalah untuk lihat graduan ILP ini dapat lakukannya,”katanya lagi.

Kulasegaran berharap agar pemain industri dapat menimbang secara serius cadangan kerajaan untuk menjadikan ILP sebagai institut kemahiran yang lebih berkualiti dan mempunyai standard tinggi.