IPOH: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengingatkan pemain Perak supaya tidak terlalu yakin dalam perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Sabah, 21 Oktober ini.

Beliau mahu para pemain kekal fokus sehingga ke wisel penamat.

Menurut Hasnul, apa yang berlaku ketika Perak membelasah Sabah 5-0 di Stadium Perak, Ahad lalu, mungkin boleh berlaku sebaliknya di Sabah.

“Memandangkan Perak boleh mengalahkan Sabah 5-0 dan perkara yang sama boleh berlaku juga tetapi dengan syarat pemain terus memberi fokus sehingga 90 minit terakhir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pos Sedunia peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau yang juga Exco kerajaan negeri Perak berharap pemain Perak yang beraksi untuk Malaysia tidak akan mengalami sebarang kecederaan.

Skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF bulan depan dan akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa berdepan Sri Lanka dan Republik Kyrgyz 12 dan 16 Oktober ini.

Lima pemain Bos Gaurus yang dipanggil ialah Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Kenny Pallraj dan Norhakim Hassan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pemain, Hasnul percaya Perak mampu melangkah ke perlawanan akhir, selepas kali terakhir 11 tahun lalu.