SITIAWAN: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mengkompaun sebuah syarikat pemaju yang didapati membina rumah kongsi tanpa kelulusan, dalam operasi bersepadu di sebuah tapak projek perumahan di Segari, dekat sini, semalam.

Operasi bersepadu itu melibatkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Jabatan Imigresen Perak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP), Suruhanjaya Tenaga dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Dalam operasi itu, MPM turut mengkompaun pemaju itu kerana laluan keluar masuk rumah kongsi itu tidak dibersihkan yang melanggar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984; manakala Suruhanjaya Tenaga mengeluarkan tiga notis mengikut Seksyen 23 dan 49 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran JKNP, Ahmad Fakurazi Abu Bakar berkata, pihaknya menemui empat bekas takungan air disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata, pihaknya mengambil sampel bersesuaian sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi mendapatkan kepastian dan pengesahan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Jika didapati memang betul takungan itu menyebabkan pembiakan aedes, syarikat pemaju tersebut akan dikenakan kompaun sehingga RM500,” katanya.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak, Suhairie Bah Ali berkata, pihaknya memeriksa 81 pekerja asing dan daripada jumlah itu, 42 orang termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi didapati melanggar syarat Imigresen, tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Daripada 42 warga asing terbabit, 24 warga Indonesia, Bangladesh (12),  Myanmar (2) dan Pakistan (4) telah ditahan dan dihantar ke Pejabat Imigresen Ipoh,” katanya.

Mereka yang berumur dalam lingkungan lima bulan hingga 50 tahun direman selama 14 hari bermula semalam untuk tindakan lanjut.