BATU PAHAT: Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Bukit Payong berang apabila arahan pihak berkuasa supaya kerja pembinaan di tapak projek Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, Parit Sulong di sini, dihentikan tidak dipatuhi kontraktor.

Pengerusinya, Abu Bakar Azmi, berkata sebaliknya kerja pembinaan termasuk meratakan tanah masih dilakukan hingga mengundang kemarahan penduduk yang membantah kewujudan tapak projek itu sejak 2012.

“Kerja berkenaan semakin rancak dilakukan hingga malam dan ini berlawanan dengan arahan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin, pada 21 Jun lalu, supaya projek ini ditangguh sementara.

“Kami kesal kerana arahan berkenaan dilanggar dan penduduk mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas serta berpegang pada janji mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abu Bakar berkata, jika tiada tindakan diambil, penduduk kampung akan mengambil tindakan perundangan untuk membela hak mereka selain mahu bertemu menteri bertanggungjawab.

Katanya, pada 2012, satu kajian menyatakan kehidupan kira-kira 26,000 penduduk di sekitar tapak projek itu akan terjejas, terutama Kampung Mohd Noor dan Kampung Kangkar Merlimau.

“Tetapi harus diingat kewujudan Bandar Putera Indah di Tongkang Pechah yang dibangunkan semula selepas ia terbengkalai sejak sekian lama selain Taman Melati di Parit Sulong dengan jumlah penduduk kini meningkat kepada 40,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membela nasib penduduk kerana majoriti menolak pembinaan projek berkenaan dan meminta kerajaan mengalihkannya ke kawasan lain.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata kerajaan negeri perlu mengambil kira pandangan penduduk kerana kerajaan terdahulu sudah membuat keputusan menghentikan pembinaan itu.

Katanya, difahamkan kerajaan sebelum ini mencadangkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya menukar sistem atau teknologi lebih mesra alam atau memindahkan lokasi pelupusan sampah ke kawasan yang tidak mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

“Beberapa kawasan yang sebelum ini dijadikan tempat pelupusan sampah seperti di Bukit Kelicap, Bindu dan Sri Wangi (Batu Pahat), Simpang Renggam (Kluang) serta Bakri (Muar) memudaratkan penduduk.

“Pada masa sama ia menyebabkan pencemaran alam sekitar dan tiada bukti menunjukkan sistem yang bakal digunakan di Bukit Payong tidak akan memberi kesan negatif kepada penduduk,” katanya – berita harian