KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) meminta penjelasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan yang mengaitkan syarikat itu dengan insiden pergaduhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Menurut syarikat berkenaan, mereka terkejut dengan laporan media yang memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, membayangkan pembabitan One City dalam insiden itu.

“One City meminta penjelasan polis berhubung kenyataan terbabit di mana kita sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang proses itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Syarikat pemaju itu berkata, tidak ada sebab untuk mereka terbabit dalam kekecohan itu memandangkan isu pengambilalihan tapak kuil itu sudah dibawa dalam dua kes mahkamah selain mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan.

“Berdasarkan penghakiman persetujuan pada 2014, kami tiada sebab untuk terbabit dalam hal itu kerana pihak berkuasa sudah terikat dengan perintah mahkamah untuk membantu dalam proses berkenaan.

“Kami menolak keganasan yang berlaku dan tidak pernah berfikir untuk terbabit dalam tindakan itu,” menurut kenyataan itu.

Dalam penghakiman persetujuan sebelum ini, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil, dan penangguhan penempatan semula kuil bagi memberi laluan kepada upacara yang perlu diadakan sebagai usaha pemaju itu menyelesaikan isu pemindahan secara aman.

Mereka turut bersedia memberi kerjasama kepada polis dan tidak pernah menyembunyikan sebarang maklumat.

Pada masa sama, One City berharap pihak berkuasa juga dapat memberi bukti menunjukkan mereka terbabit dalam kekecohan berkenaan.

“One City menghormati siasatan yang dilakukan pihak berkuasa dan kita berharap mereka juga dapat berkongsi sebarang bukti mengaitkan insiden itu dengan kami.

“Kami sentiasa telus dan terbuka, kerana itu seorang pegawai kanan kami sudah berkomunikasi dengan polis dan membuat satu temujanji untuk membantu siasatan,” katanya – berita harian